Rabu, 9 September 2009



MUTAKHIR
6,804 pelatih ingkar akan jalani PLKN pengambilan akan datang

BIDOR: Seramai 6,804 pelatih yang didapati ingkar untuk menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan menjalani latihan tersebut pada pengambilan akan datang yang bermula awal tahun depan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) tidak lagi memberikan kelonggaran dan peserta yang masih ingkar untuk menjalani PLKN sesi akan datang perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 240 jam selaras dengan pindaan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) yang dibentangkan pada persidangan Parlimen lalu. "Kerajaan bersetuju menggantikan hukuman penjara dan denda kepada pelatih yang disabitkan kesalahan di bawah akta ini dengan Perintah Khidmat Masyarakat tersebut.
"Saya mengharapkan kelonggaran dengan adanya akta ini diberikan penghargaan oleh peserta-peserta yang selama ini dapat melepaskan diri dengan pelbagai alasan untuk tidak menyertai PLKN," katanya selepas majlis perasmian penutup PLKN Siri 6/2009 di Kem PLKN Nilam Ehsan di sini, hari ini. Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil turut hadir pada majlis perasmian penutup berkenaan yang disertai seramai 750 orang pelatih dari Kem PLKN Nilam Ehsan, Bidor; Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai dan Kem PLKN Sentosa, Tapah serta turut berjalan serentak di 83 Kem PLKN di seluruh negara. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan menghantar misi bantuan gempa bumi di Pulau Jawa seperti mana misi bantuan yang dihantar ketika tsunami di Aceh dan gempa bumi di Yogyakarta sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan